Siasat Segera Wartawan Diserang

Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung insiden wartawan sukan, Haresh Deol yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), diserang di Bangsar di sini, hari ini, perlu dijalankan segera.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, keselamatan pengamal media terutama ketika mereka menjalankan tugas, tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Saya dimaklumkan mengenai insiden itu ketika menghadiri program di Kota Kinabalu, Sabah. Saya telah menghubungi saudara Haresh untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian yang berlaku petang tadi.

“Haresh memaklumkan bahawa beliau baru selesai membuat laporan polis dan sedang menyelesaikan urusan laporan perubatan,” katanya dalam hantaran melalui Facebook.