Siapa Boleh Beli Petrol, Diesel Lebih 20 Liter?

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Siapa berhak beli petrol dan disel untuk kuantiti 20 liter ke atas?

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hanya 10 kategori yang layak memohon Permit Khas bagi pengisian minyak petrol dan diesel 20 liter ke atas setakat ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, kategori berkenaan, termasuk forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, rekreasi air, pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, penyelenggaraan, pelancongan dan pembinaan berskala kecil.

Azman berkata, pembelian menggunakan Permit Khas itu adalah untuk kuantiti 20 liter ke atas saja dan berdasarkan kepada harga pam semasa di stesen minyak.

Beliau menegaskan, mana-mana syarikat, organisasi atau individu yang ingin membeli petrol dan diesel di stesen minyak untuk kegunaan selain tangki asal kenderaan dan bagi tujuan kegunaan persendirian perlu memohon serta mendapat kelulusan Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.