
PUTRAJAYA: Sepakat menolak dan mengecam sekeras-kerasnya semua bentuk keganasan. Itulah kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang dikeluarkan Kementerian Luar semalam.
Kedua-dua pemimpin menggesa tindakan pada peringkat global diselaraskan bagi menangan isu itu secara berterusan serta menyeluruh.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menangani fahaman radikal dan ekstremisme, membanteras pembiayaan dan menghalang penyalahgunaan teknologi baharu bagi tujuan keganasan melalui perkongsian maklumat, pertukaran amalan terbaik serta inisiatif pembangunan kapasiti.
“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk bekerjasama dalam isu jenayah terancang rentas sempadan termasuk melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua Perdana Menteri turut menghargai penglibatan India dalam rangka kerja Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) Plus dan mengalu-alukan kepengerusian bersama Malaysia dalam Kumpulan Kerja Antikeganasan bagi penggal 2024-2027.
“Pemimpin mempelawa semua ahli ADMM-Plus untuk menyertai Latihan Kumpulan Kerja Pakar mengenai Antikeganasan (EWG CT TTX) yang akan datang, dipengerusikan bersama oleh India serta Malaysia, dan dijadualkan dihoskan oleh Malaysia pada tahun ini,” menurut kenyataan itu.