
KUALA LUMPUR: Jumlah hutang negara tidak sepatutnya mengelirukan rakyat meskipun ada pihak sengaja memutarbelitkan statistik sehingga menimbulkan salah faham mengenai situasi sebenar.
Perlu diperjelaskan maksud sebenar hutang statutori kerana ia penting supaya rakyat memahami konteks angka yang dibentangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim..
“Angka ini sebenarnya diputarkan (diputar belit)… statistik sepatutnya tidak menipu. Tetapi ada keadaan di mana statistik boleh dimanipulasi untuk diperdaya.
“Jadi oleh itu saya nak tegaskan di sini, apa maksud hutang statutori ? Itu ada dalam undang-undang kita. Hutang statutori (adalah) jumlah keseluruhan pinjaman kita yang tidak melibatkan hutang luar negara yang (jumlahnya) kecil dan juga treasury bills (instrumen hutang jangka pendek).
“Ada angka penurunan kerana yang penting apa? Kita boleh turunkan segera tetapi bebannya kepada rakyat. Itu satu keputusan yang harus kita ambil.
“Sebab itu, daripada RM100 bilion hutang baharu, kita turunkan kepada RM70 bilion. Kita boleh (saja) turunkan kepada RM20 bilion tahun depan, tetapi kerajaan negeri janganlah minta peruntukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.