
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara, kata Ketua Pengarah, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Tanpa mendedahkan tarikh mula penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar itu, beliau berkata keutamaan JPJ ketika ini ialah melaksanakan advokasi pemakaian tali pinggang keledar antaranya melalui kempen “Klik Sebelum Gerak”.
Beliau berkata kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dilancarkan hari ini sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan jalan raya dan menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pengguna kenderaan iaitu pemandu dan penumpang kenderaan.
“Selaras dengan kempen ini juga, kita akan maklumkan kemudian penguatkuasaan untuk pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang-penumpang kereta persendirian selepas ini.
“Kita akan maklumkan nanti, sekarang ini kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ dan kemudian kita akan maklumkan bilakah tarikh yang kita akan tentukan untuk penguatkuasaan bagi penumpang-penumpang kereta,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Kompaun RM300 akan dikenakan jika tidak pakai tali keledar.