
PUTRAJAYA: Subjek Bahasa Melayu dan Sejarah adalah wajib dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kontroversi berkaitan isu bahasa akan dapat dileraikan, sekaligus hal berkaitan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) tidak lagi berbangkit selepas ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini hari ini.
Anwar juga berkata, bermula tahun depan, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula bermula pada usia enam tahun.
Mengumumkan perkara itu, Anwar menjelaskan perubahan masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.