
PETALING JAYA: Suami Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari, tidak dapat menahan marahnya dan mengungkap: “Semoga Allah melaknat kau. Kau tunggu, botak”, sambil menunjukkan jari ke arah pegawai penyiasat, Deputi Superintendan Mohd Hafizee Ismail.
Reaksi Zaim Ikhwan itu terjadi selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan peguam, Haresh Mahadevan, supaya hukuman penjara ke atas isteri Zaim, Ismanira ditangguhkan.
Haresh dalam hujahan, memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, dua tahun lalu.
Beliau berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya itu yang juga kanak-kanak autistik.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan.
Mahkamah juga memerintahkan Ismanira menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu, mahkamah mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.