
KUALA LUMPUR: Tindakan rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada rakyat Indonesia menerusi pesanan makanan dalam talian mendapat pujian dan penghargaan daripada warganet, sekali gus mencerminkan semangat persaudaraan serumpun yang erat di antara kedua-dua negara.
Tanpa mengira sempadan geografi, rakyat Malaysia mengambil inisiatif menukar lokasi aplikasi penghantaran makanan ke beberapa bandar utama di Indonesia untuk membuat pesanan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk diedarkan kepada rakyat yang terkesan dengan demonstrasi di negara itu baru-baru ini.
Seorang pengguna aplikasi Thread @dwi507 menzahirkan rasa terharu dengan tindakan itu, menyifatkannya sebagai bentuk kasih sayang yang besar daripada rakyat Malaysia terhadap Indonesia.
“Pagi-pagi dibuat nangis sama kawan-kawan Malaysia. Terima kasih banyak Malaysia, jujur makin mikir mau nulis apa malah makin nangis saya.
“Allah SWT balas segala kebaikan kalian dan insya-Allah jadi ladang pahala untuk kalian semua amin. Terima kasih, terima kasih, terima kasih,” katanya.
Seorang lagi warganet Indonesia @lrspusp menerusi video TikTok berkata tindakan rakyat Malaysia itu jelas menunjukkan semangat kejiranan serantau.