
KUALA LUMPUR: Landskap pendidikan negara menyaksikan perubahan ketara apabila semakin ramai ibu bapa Melayu memilih menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Data Kementerian Pendidikan (KPM) juga menunjukkan pendaftaran pelajar Bumiputera di SJKC meningkat hampir dua kali ganda, daripada 11.67% pada 2014 kepada 18.52% tahun ini.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan dan Sains Tingkah Laku Fakulti Pendidikan Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Syahidan Zainal Abidin, menekankan bahawa fenomena ini bukan sekadar keputusan memilih perkhidmatan pendidikan, tetapi mencerminkan aspirasi ibu bapa yang kompleks dan pelbagai dimensi, misalnya penguasaan bahasa ketiga.
“Penguasaan bahasa Mandarin adalah strategi jangka panjang yang menjadi salah satu daya tarik utama SJKC bagi ibu bapa Melayu.
“Mereka percaya bahawa kecekapan berbahasa Mandarin akan meningkatkan peluang pekerjaan anak-anak mereka pada masa hadapan,” katanya.