
JELEBU: Individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian Tabung Haji (TH) berdasarkan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan hari ini, akan dibawa ke muka pengadilan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.
“Orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh polis, SPRM, Bank Negara … semua akan disiasat.
“Kalau ada bukti, (akan) didakwa (di mahkamah).
“Biar masuk mahkamah (untuk dibicarakan) dan biar masuk penjara (jika disabitkan bersalah), tidak ada masalah, itu aturan negara ini,” kata beliau ketika berucap di Majlis Minum Petang Bersama-Sama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Simpang Durian, di Jelebu hari ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hadir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kabinet sebelum ini mendapat taklimat daripada Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang memaklumkan bahawa TH rugi RM10 bilion.
Beliau berkata, kerugian TH bermula sejak 2014 dan pernah mendapat teguran daripada Bank Negara, namun perkara itu tidak diendahkan oleh pihak berkaitan.
“(TH) rugi RM10 bilion sebab tidak ikut peraturan, sebab pelaburan salah, sebab banyak masalah … (perkara itu) berlaku sejak 2014.
“Pada 2014, Bank Negara, Gabenor Bank Negara tulis kepada TH ada pelanggaran, tetapi tidak dipedulikan,” kata beliau.