
KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion membabitkan seorang bekas menteri kanan di sebuah kementerian akan diteliti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata agensi itu akan meneliti keseluruhan laporan yang diterima pihaknya.
Menurutnya, penelitian itu bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.
“Tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan.
“Ini seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan,” katanya.
Difahamkan, SPRM menerima laporan mengenainya daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).