Selangor Kaji Naikkan Caj Beg Plastik

Foto Bernama

SHAH ALAM: Beg plastik di Selangor akan jadi lebih mahal jika ura-ura menaikkan caj bahan itu di negeri berkenaan dinaikkan daripada kadar semasa 20 sen.

Cadangan itu dikaji selepas pelaksanaan pelan tindakan pengurangan plastik sekali guna dimuktamadkan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata secara teorinya kenaikan caj itu boleh berlaku memandangkan kutipan caj beg plastik akan diwajibkan melalui penguatkuasaan undang-undang kecil yang sedang dirangka kerajaan negeri.

“Ketika ini cajnya 20 sen dan telah dilaksanakan untuk tempoh agak lama. Selepas ini kita akan mewujudkan peruntukan dalam undang-undang kecil bagi memberi punca kuasa kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk memastikan kutipan caj plastik dilaksanakan.

“Berapa kadar baru itu masih belum ditetapkan, namun secara teorinya memang mungkin akan ada kenaikan kerana selepas ini kutipan caj plastik akan diwajibkan,” katanya.

Bagaimanapun, Jamaliah berkata, kadar caj baru itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mendapatkan persetujuan semua ahli mesyuarat sebelum dimuktamadkan.