Selangor Batal Sementara Projek Ladang Babi Bukit Tagar

Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menangguh dan membatalkan sementara sebarang cadangan membabitkan pembangunan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Ia berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu itu sebenarnya telah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini termasuk arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif berikutan bantahan penduduk berhampiran kawasan terbabit.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah dimaklumkan mengenai perkara ini pada Rabu lalu.

“Kita sedar terdapat bantahan keras, maka saya arahkan supaya alternatif kawasan lain dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, penduduk Felda Sungai Tengi Selatan menggesa Kerajaan Selangor membatalkan sepenuhnya cadangan pembinaan ladang penternakan babi berhampiran Bukit Tagar di sini, dan bukan sekadar penangguhan atau pembatalan sementara.

Mereka berharap ladang itu tidak diusahakan langsung kerana kawasan mereka berhampiran Bukit Tagar.

“Kami tidak mahu ia sekadar ditangguh atau dibatalkan sementara. Kami mahu kerajaan negeri membatalkannya selamanya demi ketenteraman masyarakat Islam di empat Felda berhampiran,” kata mereka.