
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 yang berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu.
Perdana Menteri berharap persidangan kali ini akan berlangsung dengan tertib, penuh wacana bernas berpaksikan kepada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang Madani.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.
“Dalam lanskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara,” kata beliau.
Menerusi hantaran di FBnya, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut berkongsi sekeping gambar sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 2023.
Perhimpunan Agung Umno 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-17.