
SHAH ALAM: Serangan Israel-Amerika ke atas Iran menyebabkan sekatan ruang udara di beberapa kawasan di Asia Barat dan penumpang yang ingin melakukan perjalanan dinasihat menyemak status penerbangan terkini.
Malaysia Airports dalam kenyataannya memaklumkan, sekatan ruang udara di beberapa kawasan mungkin mengakibatkan kelewatan, laluan semula atau pembatalan berdasarkan penilaian keselamatan syarikat penerbangan.
Walaupun perkhidmatan masih beroperasi, jadual dan laluan mungkin disemak semula pada bila-bila masa.
“Penumpang dinasihatkan untuk mengesahkan status penerbangan mereka terus dengan syarikat penerbangan sebelum berangkat ke lapangan terbang.
“Penumpang yang merancang untuk ke destinasi Asia Barat yang terjejas harus mengambil perhatian bahawa gangguan tidak terhad kepada perkhidmatan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, walaupun melalui titik transit alternatif di luar kawasan tersebut, perkhidmatan seterusnya ke destinasi terjejas mungkin digantung atau terhad.
Pengembara dinasihatkan untuk menyemak status keseluruhan perjalanan mereka, termasuk sektor sambungan, sebelum membuat sebarang perancangan perjalanan.
Komuniti lapangan terbang termasuk Malaysia Airports sebagai pengendali, syarikat penerbangan, pengendali darat, pengawal selia dan pihak berkepentingan lapangan terbang yang lain sedang bekerjasama rapat untuk memantau perkembangan.