
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai seimbang dari segi hala tuju dan bertepatan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan konsolidasi fiskal melalui pengurangan deficit.
FMM memuji matlamat kerajaan untuk menurunkan sasaran defisit daripada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 kepada 3.5 peratus pada 2026 di bawah kerangka tanggungjawab fiskal Kerajaan Madani.
Menurut FMM, hasil persekutuan dijangka meningkat kepada RM343.1 bilion pada 2026 berbanding RM334.1 bilion pada 2025, disokong oleh pematuhan cukai yang lebih baik hasil pelaksanaan inisiatif seperti invois elektronik, sistem penilaian kendiri bagi duti setem, serta pengenalan setem cukai digital untuk membendung pemalsuan.
Pertubuhan itu juga memuji komitmen kerajaan memperkasakan sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah seperti industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor melalui pelbagai inisiatif pembiayaan dan pelaburan yang disasarkan.
Langkah itu, katanya, akan mengukuhkan keupayaan industri tempatan, memperkukuh rantaian bekalan domestik dan mempercepat transformasi Malaysia sebagai hab serantau bagi pembuatan serta teknologi maju.
Bagaimanapun,, FMM menyuarakan kebimbangan bahawa belanjawan kali ini kurang memberi tumpuan kepada sokongan tambahan bagi sektor pembuatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk melabur dalam inovasi dan automasi.
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) dalam kenyataan berasingan pula melihat Belanjawan 2026 sebagai langkah positif ke arah membina persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif, mampan dan boleh dijangka.