
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji perlu memastikan bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
Ini adalah antara syarat yang diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkaitan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad, berkata jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mengalami kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.
“Syarat yang wajib dipatuhi bakal jemaah ialah mereka tidak mempunyai penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan,” katanya.
Menurut Mustakim, pada tahun depan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak lagi membenarkan TH untuk membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.
Oleh itu katanya, jemaah haji yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi pakar-pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).