Saudi Pertingkat Kawalan 10 Malam Akhir Ramadan

Foto AFP

MAKKAH: Lebh 18,000 kakitangan dan 6,000 kenderaan digerakkan oleh pihak berkuasa perbandaran Makkah dan Madinah di bawah pelan operasi intensif sempena bermulanya 10 hari terakhir Ramadan.

Laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA) menyebut, menerusi pelan itu Kementerian Perbandaran dan Perumahan mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan ziarah untuk membolehkan mereka beribadah dalam persekitaran yang selamat dan teratur.

Menurut kementerian, pelan operasi itu merangkumi peningkatan kecekapan pembersihan kemudahan dan sanitasi persekitaran, pengukuhan infrastruktur serta perkhidmatan perbandaran dan menggiatkan pemeriksaan lapangan terhadap premis komersil dan makanan.

Semua itu bagi memastikan kualiti perkhidmatan terjamin sepanjang tempoh kesesakan tinggi di kedua-dua kota suci itu.

Pihak Berkuasa Perbandaran Suci Makkah menugaskan lebih 13,000 kakitangan sepanjang masa bagi menyokong aktiviti pembersihan dan operasi di kawasan pusat serta tapak sekitar Masjidil Haram.

Ia disokong oleh sistem kenderaan dan peralatan khusus bersepadu untuk mengekalkan kebersihan di lokasi padat serta memudahkan pergerakan jemaah umrah dan ziarah.

Selain itu, pihak perbandaran menyediakan lima tapak parkir dengan kapasiti melebihi 42,000 kenderaan sebagai sebahagian daripada sistem pengurusan trafik bersepadu bagi memudahkan akses ke Masjidil Haram dan mengurangkan kesesakan di kawasan pusat bandar.