
Mengiktiraf isu kesihatan bersifat pelbagai dimensi dan rentas negara membabitkan perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan cabaran geopolitik adalah bukti komitmen Asean terhadap tema Perhimpunan Kesihatan Sedunia, iaitu ‘Satu Dunia Untuk Kesihatan’, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.
Perkara itu dinyatakan beliau melalui kenyataan mewakili Malaysia selaku Pengerusi Asean bagi pihak negara anggota sempena WHA78 yang berlangsung di Palais des Nations, Geneva.
Menurutnya, susulan pandemik Covid-19, Asean menegaskan komitmen bersama ke arah memperkukuh aspek keselamatan kesihatan global, dengan dipandu prinsip solidariti dan kebersamaan.
Katanya, Asean mencapai kemajuan ketara melalui rangka kerja dan mekanisme serantau termasuk Pusat Asean bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Berjangkit baru, Pusat Pemantauan Ancaman Biologi Asean dan Rangkaian Pusat Operasi Kecemasan Asean.