Sara Untuk Semua: Bantuan RM100 dikreditkan Isnin

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bantuan sekali beri RM100 Program Sara melalui MyKad kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan mula disalurkan bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semakan kelayakan boleh dibuat dengan melayari portal sara.gov.my.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi memanfaatkan semua warganegara tanpa perlu membuat sebarang permohonan dan bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke MyKad penerima.

“Tiada permohonan diperlukan dan ia akan dikreditkan secara automatik ke MyKad masing-masing serta sah digunakan sehingga 31 Disember 2026,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Amir Hamzah menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai jumlah peruntukan program Sara melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 dan nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.

Program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (Sara) di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup melalui bantuan bersasar tanpa tunai.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan masih menjalankan kajian lanjut berhubung cadangan memasukkan barangan basah sebagai kategori baru di bawah program Sara bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan jaminan kepada pengguna sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.