
KUALA LUMPUR: Hampir 900,000 transaksi dengan nilai RM52.7 juta direkodkan pada hari pertama penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 Ahad lalu.
Nilai berjaya diproses pada hari kedua pula meningkat kepada RM66 juta, dengan beras, telur dan roti putih antara 14 kategori barangan paling laris dibeli melalui insentif secara sekali beri yang disasarkan kepada 22 juta warga tempatan berusia 18 tahun ke atas itu.
SARA RM100 adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup dan penghargaan kepada rakyat, membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai RM2 bilion.
Bantuan itu boleh dibelanjakan mulai Ahad lalu hingga 31 Disember depan untuk membeli barangan asas di lebih 7,300 kedai dan pasar raya terpilih di seluruh negara.
Baki sumbangan tidak digunakan hingga tarikh akhir itu akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan pada tahun hadapan.
Secara umum, SARA adalah program bantuan tunai dikreditkan ke dalam MyKad penerima, bertujuan mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi Madani.