Saman pemula wanita isytihar bukan Islam ditolak

Foto Hiasan

SEREMBAN: menolak Saman pemula yang difailkan seorang wanita terhadap Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi mendapatkan pengisytiharan dirinya sebagai bukan beragama Islam ditolak oleh Mahkamah Tinggi Seremban.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membuat keputusan itu dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Peguam, Danial Farhan Zainul Rijal yang mewakili MAINS memaklumkan, mahkamah menolak permohonan wanita berusia 47 tahun itu dengan kos sebanyak RM4,000.

“Mahkamah membuat keputusan berdasarkan dokumen dan kenyataan pemohon yang berulang kali mengakui beragama Islam di dalam permohonan kad pengenalan, perkahwinan dan perceraian sekaligus menunjukkannya beragama Islam.

“Mahkamah turut mengambil kira bahawa rekod dokumentasi berhubung pengislaman pemohon ketika berusia empat tahun mengikut ibu bapanya ketika itu, termasuk Kad Perakuan Masuk Islam Pemohon yang menunjukkannya memohon memeluk agama Islam melalui ibu bapanya,” katanya.

Katanya, perkara itu selaras mengikut Peraturan No 2 Masuk Islam (Selangor) di bawah Enakmen 1952 yang menyatakan rekod pengenalan diri adalah bukti penting dan konklusif yang tidak boleh diketepikan semata-mata melalui dakwaan amalan peribadi seseorang.

Tambah beliau, mahkamah turut memutuskan bahawa isu yang dibawa pemohon tidak boleh diterima sebagai tuntutan ‘ab initio’ atau dakwaan bahawa individu berkenaan tidak pernah menganut agama Islam.

Pada 23 Mac 2023, wanita itu melalui peguam S Karthigesan memfailkan saman pemula dengan menamakan tiga responden iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), MAINS dan kerajaan Malaysia.