
KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) baru-baru ini menganjurkan Persidangan Meja Bulat Kebangsaan bagi membincangkan peranan mengangkat mata pelajaran umum dalam membentuk generasi Malaysia madani.
Bertemakan “Pendidikan Insaniah: Pemacu Negara Bangsa Madani”, program itu disertai pakar akademik daripada 18 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seluruh negara termasuk Sunway University, HELP University, UNIRAZAK, UNITEN bersama pentadbir pendidikan serta tokoh masyarakat.
.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh dalam ucapan aluannya menegaskan komitmen universiti untuk terus memperkukuh agenda pendidikan insaniah.
Katanya, pendidikan insaniah menjadi landasan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing dalam pasaran global tetapi juga memiliki etika, integriti dan jati diri sebagai warga Malaysia.
“Mata pelajaran umum adalah satu platform utama pendidikan insaniah dalam memastikan agenda Malaysia Madani dan status negara maju tercapai,” katanya.
.
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam ucaptamanya pula menekankan bahawa mata pelajaran umum tidak boleh dianggap subjek sampingan sebaliknya menjadi wahana utama untuk menyemai kefahaman sejarah, memperkukuh identiti nasional dan menggalakkan perpaduan masyarakat majmuk.
Katanya, pengukuhan MPU di IPT seiring transformasi digital dan perubahan sosial semasa amat penting bagi memastikan graduan negara bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga mempunyai jati diri, nilai moral dan kesedaran sivik yang tinggi.
Persidangan turut membincangkan pemerkasaan MPU di IPTS melalui inovasi pedagogi, integrasi teknologi digital dan penilaian berstandard tinggi selain diakhiri dengan perbincangan kumpulan fokus, Gallery Walk, yang menampilkan hasil penyelidikan, inovasi dan amalan terbaik berkaitan pendidikan insaniah.