
ALOR SETAR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi di sini, semalam mendapati beliau bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah.
Pada masa sama, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu proses rayuan selesai.
“Saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Pada masa sama, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.
“Bagaimanapun, setelah meneliti keputusan bersama pasukan guaman, saya berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.
“Justeru, saya telah mengarahkan peguam untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya.
Saifuddin menegaskan kekal berpegang kepada prinsip keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi di negara ini.