Saifuddin Minta Mufti Perlis Serah Maklumat Kultus Korea

Foto Fail Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin segera menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea Selatan yang sedang aktif di negara ini.

Saifuddin berkata langkah itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

“Saya mempelawa Mohd Asri tampil membekalkan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa. Tentunya beliau mempunyai maklumat yang seperti disebut,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pihak polis telah menerima laporan berkaitan dakwaan kewujudan satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang membawa dakwaan janggal serta menyimpang.

Sebelum ini, Mufti Perlis menerusi hantaran di Facebooknya turut mendakwa terdapat penglibatan Ahli Parlimen Muslim dan individu penting Parlimen yang aktif membantu gerakan kultus tersebut dan satu taklimat mengenainya telah disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Saifuddin berkata Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus bagi menangani ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan penganut, termasuk pemantauan modus operandi kumpulan serta individu terbabit.