
PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas yang pada asalnya disasarkan untuk dibentangkan pada Oktober ini dijangka hanya dapat dibawa ke Parlimen pada awal 2027, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau, draf RUU itu sebenarnya sudah lengkap, tetapi proses penyediaannya mengambil masa lebih lama berikutan pelbagai perkara baharu yang timbul daripada sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak negeri. “Memang kita punya garis masa tahun ini. Tapi, kita dimaklumkan disebabkan perkara baharu…bila kita adakan libat urus itu, banyak perkara baharu yang perlu dimasukkan dan kita pun setuju supaya ia dimasukkan sebagai pindaan terhadap draf kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan 80 Tahun Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini.
Nancy berkata proses seterusnya masih memerlukan penelitian terperinci sebelum RUU tersebut dapat dimuktamadkan dan dibawa ke peringkat berikutnya.
Undang-undang baharu itu bakal menyediakan perlindungan perundangan yang lebih menyeluruh kepada golongan warga emas, khususnya membabitkan isu pengabaian, penderaan dan eksploitasi. Ia turut dirangka sebagai persediaan komprehensif menghadapi peralihan demografi Malaysia ke arah status negara menua menjelang 2028.
Sumber : Bernama