
KOTA TINGGI: Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli diharap dapat dibawa ke persidangan Parlimen pada Oktober ini selepas selesai sesi penerangan atau jelajah serta mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dijangka diselesaikan bulan ini sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
“Kita harap September ini kita boleh selesaikan jelajah dan dapat keputusan Kabinet pada hujung September atau awal Oktober, supaya RUU ini dapat dibawa ke Parlimen bagi persidangan Oktober, November dan Disember, iaitu yang terakhir tahun ini.
“Saya harap saya boleh bawa RUU ini kurang daripada enam bulan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Bantuan Guaman ASEAN 2025 Untuk Kanak-Kanak di Pusat Persidangan Desaru Coast pada malam Ahad.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh enam bulan kepada Azalina untuk mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU itu.
Jelasnya, Jemaah Menteri mencadangkan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Maktab Tentera Diraja serta universiti awam dan swasta turut dilibatkan dalam proses berkenaan.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, sesi libat urus penting bagi mendengar pandangan rakyat sama ada tribunal lebih sesuai kerana prosesnya lebih cepat berbanding perbicaraan di mahkamah.
“Kalau semua nak masuk penjara, ‘berhabis beras’ sajalah. Mungkin hukuman boleh berbentuk lain seperti denda, kursus atau ganti rugi, bukan semata-mata penjara.
“Kepentingan tribunal ini, kalau dipersetujui kerajaan, prosesnya cepat. Kalau dibawa ke mahkamah, kes jenayah sedia ada pun makan masa bertahun, apatah lagi kes buli,” katanya.