RUU Pekerja Gig Bentuk Masa Depan Sektor Pekerjaan

Foto Fail / Bernama

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam adalah langkah penting yang membentuk masa depan sektor pekerjaan di Malaysia.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata RUU itu menyediakan rangka kerja kawal selia jelas yang mengiktiraf status unik pekerja gig, terutama mereka yang terbabit dalam platform digital selain memperkenalkan perlindungan penting termasuk akses kepada keselamatan sosial, mekanisme untuk penyelesaian pertikaian dan perlindungan terhadap amalan tidak adil.

Beliau berkata, RUU itu hadir pada masa yang kritikal apabila pasaran buruh Malaysia sedang mengalami transformasi pesat didorong oleh teknologi, model perniagaan baru dan jangkaan pekerja yang berkembang.

Menurut Syed Hussain, organisasi itu menyokong penuh usaha kerajaan untuk menginstitusikan perlindungan yang adil kepada pekerja gig sambil mengekalkan fleksibiliti yang penting kepada kemampanan ekonomi gig dan pendekatan itu selaras dengan prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau berkata, walaupun perlindungan diperlukan, sebarang rangka kerja undang-undang baru mesti mengelak peraturan berlebihan yang boleh menjejaskan daya maju model gig.

“Kos pematuhan yang berlebihan dan tafsiran pekerjaan yang tegar boleh menghalang perniagaan melibatkan pekerja gig dan mengurangkan peluang bagi rakyat Malaysia yang mencari pendapatan tambahan,” katanya.