
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) akan memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran Kerajaan MADANI di samping membolehkan rakyat dan organisasi memperoleh maklumat tanpa menjejaskan keselamatan negara.
Menurut Pakar Geostrategi, Profesor Dr Azmi Hassan Azmi yang juga Felo Majlis Profesor Negara, pelaksanaan FOI berupaya menepis persepsi bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat tertentu daripada rakyat.
“Maklumat yang tidak menjejaskan keselamatan negara seharusnya boleh diakses oleh rakyat melalui prosedur ditetapkan. Ini memudahkan masyarakat dan organisasi mendapatkan maklumat yang berkepentingan awam”
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali pula menegaskan, Rang Undang-undang FOI adalah antara Langkah Kerajaan MADANI memperkukuh reformasi institusi negara.
“Langkah-langkah ini bukan mudah kerana kerajaan terdahulu pernah mencuba, namun tidak berhasil”
.
“Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI menunjukkan iltizam tinggi dalam memastikan asas reformasi institusi negara dapat dilaksanakan”
Dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan Perutusan Amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rang Undang-Undang FOI akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen tahun ini.