RUU hadkan tempoh jawatan PM akan dibentangkan di Parlimen tahun ini : PMX

Foto Tangkap Layar / FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi.

“Semua orang ada had tempohnya… KSN (Ketua Setiausaha Negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya”

“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh”

Menurut Anwar, RUU itu adalah salah satu daripada langkah reformasi institusi yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh beliau.