
KUALA LUMPUR: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Antibuli 2025 dan akan memastikan kementerian bertanggungjawab ke atas pelajar di bawah umur 18 tahun melaksanakan garis panduan mengenai buli di premis sekolah masing-masing bagi membendung kes itu secara total.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kementerian itu dan Kementerian Pendidikan menjaga hal-ehwal semua sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah swasta, manakala Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Kementerian Pertahanan juga terbabit mengendalikan Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguruskan Sekolah Henry Gurney.
“Kempat-empat institusi ini dan menteri bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab yang disebut sebagai garis panduan dengan menjadikan ia sebahagian daripada undang-undang.
“Ini saya tengok satu pendekatan yang baik, sebab (selepas ini) tidak boleh lagi mana-mana sekolah rendah, sekolah menengah atau pun sekolah swasta mengatakan mereka tidak tahu mempunyai tanggungjawab itu,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan,
RUU itu diluluskan dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 27 senator.