
KUALA LUMPUR: Eksport daging halal dan tenusu Russia ke negara ini akan ditingkatkan tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk melonjakkan perdagangan dua hala terutama dalam sektor makanan dan pertanian.
Pengarah Jabatan Kerjasama Ekonomi Pelbagai Hala Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratev berkata banyak syarikat Russia telah pun menerima pengiktirafan pensijilan halal daripada pihak berkuasa Malaysia.
“JAKIM sudah memberikan pensijilan halal kepada banyak banyak syarikat di Russia.
Justeru, mungkin tahun ini kita akan mula mengeksport lebih banyak daging dan produk susu dari Russia.
“Ia benar-benar mempunyai standard halal yang tinggi,” katanya sebelum menghadiri mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Russia pula berminat untuk mengimport rangkaian produk Malaysia termasuk barangan elektronik dan pertanian, selain menawar untuk mengembangkan eksport baja dan produk farmaseutikalnya ke Malaysia, kata Nikita.
“Kami sudah bersedia untuk mengimport dari Malaysia, kami berminat dengan produk elektronik dan pertanian yang berbeza dari Russia. Kami juga bersedia untuk mengeksport lebih banyak baja untuk pertanian dari Malaysia dan sudah tentu lebih banyak produk farmaseutikal,” katanya.
Mesyuarat dua hala di antara Russia dan Malaysia itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan di sini.