Rugi bertahun akibat gaduh politik: Anwar

Foto Sinar Harian

KOTA KINABALU: Sudah sampai waktunya semua pihak menghentikan budaya ‘gaduh-gaduh politik’ yang hanya menguntungkan segelintir individu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, apa yang lebih baik ialah memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perbalahan politik yang berpanjangan sejak sekian lama telah banyak merugikan negara serta menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada dasar pembangunan ekonomi yang mampan.

“Kita sudah rugi banyak tahun, gaduh-gaduh politik tidak habis, rugi, tapi yang untung tiga, empat orang. Yang bising itu banyak kaya-kaya.

“Yang kita nak tolong ini orang meniaga dan rakyat kita. Itu fokus kita,” katanya ketika berucap sempena sesi mesra Perdana Menteri bersama Persatuan Industri Sabah di sini pada malam Sabtu.

Anwar berkata, Malaysia kini berada pada tahap di mana kekuatan ekonomi perlu menjadi keutamaan kerajaan, bukannya perebutan kuasa yang melemahkan kestabilan pentadbiran.

“Fokus kita mesti menguatkan ekonomi kita. Tiada siapa bantu kita, orang hormat kita sebab negara ini aman, sebab dasar kita kuat,” katanya.