Rosmah Gagal Singkir Hakim Dengar Kes Rasuah Projek Solar Hybrid

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya supaya Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam kes rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, sebulat suara menolak rayuan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu selepas mendapati Rosmah gagal menunjukkan terdapat merit dalam rayuan berkenaan.

“Dengan itu, kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Rosmah, 74, memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menarik diri – dua hari sebelum keputusan kes rasuah dihadapinya dijangka diumumkan – berdasarkan alasan penghakiman kes didakwa bocor.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.