Rombakan Kabinet: Berilah cadangan, kata PM berseloroh

Foto Fail

PUTRAJAYA: Spekulasi rombakan Kabinet menjadi topik hangat dan Perdana Menteri, yang dihampiri wartawan, secara berseloroh meminta media mengemukakan cadangan senarai bakal menteri Kabinet yang baru untuk dipertimbangkan.

Yang pasti, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil sikap mengunci mulut mengenainya.

“Tolong bagi cadangan kalau ada,” katanya ringkas ketika selesai merasmikan Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Terdahulu, dalam majlis sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan seolah-olah rombakan Kabinet akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Menurutnya, sokongan Anwar sangat diharapkan untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun-tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai Menteri Kabinet tidak diketahui.

“Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet atau pun tidak, itu soal nombor dua. Ini adalah agenda negara. PM senyum saja bagi isyarat, sebab saya rasa pun tak lama dua tiga minggu saja lagi,” katanya.