Rombak Kabinet hanya isi tempat kosong: PM

Foto Fail

KUALA LUMPUR: Tiada rombakan Kabinet besar-besaran, cuma mengisi kekosongan bagi beberapa jawatan menteri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir.

“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Mungkin rombakan itu, kalau ada masa yang panjang tapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu setengah tahun saja, jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan.

“Bagaimanapun, saya sedang merenung apakah langkah yan harus diambil tapi mengisi kekosongan itu ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan model kenderaan elektrik pertama (EV) keluaran PERODUA, QV-E di sini, hari ini.