Rohingya kebal tindakan penguatkuasaan

Foto AFP

GOMBAK: Walaupun pernah ditahan beberapa kali, etnik Rohingya dari Myanmar yang memegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) seolah-olah kebal daripada tindakan penguatkuasaan.

Ia terbukti apabila tinjauan pascaserbuan besar-besaran pihak berkuasa di kawasan Selayang Baru pada Sabtu lalu, mendapati warga asing khususnya Myanmar etnik Rohingya kembali berniaga di kaki lima dengan alasan tiada pilihan lain untuk menyara hidup.

Ia menimbulkan persoalan kerana sebagai pemegang dokumen UNHCR, mereka tidak dibenarkan bekerja di negara ini.

Tinjauan BH di kawasan Selayang Baru dan kawasan sekitar semalam mendapati kegiatan perniagaan oleh warga asing terutama warga Myanmar masih berjalan seperti biasa.