Rogol berkumpulan: 4 pelajar tingkatan 5 direman

Foto Hiasan

MELAKA: Polis menahan empat pelajar tingkatan lima yang didakwa merogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah di sini.

Keempat-empat pelajar itu direman selama enam hari bagi membantu kes itu yang berlaku minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah tahanan reman terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana, bermula semalam ini hingga 16 Oktober.

Menurutnya, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.

“Kes itu masih dalam siasatan polis,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir itu didakwa berlaku kira-kira jam 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.

Mangsa dikatakan diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.