
KUCHING: Aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI mungkin diharamkan berikutan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan, dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil oleh Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox pada Disember ini.
“Kita masih menunggu dan melihat bagaimana Australia melaksanakan peraturan itu. Mereka sedang merancang, tetapi belum dilaksanakan.
“Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan keadaan dan budaya tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, hari ini.
Beliau mengulas kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat pada Isnin lalu.