
BATU PAHAT: Seramai 29,048 pekebun kecil di Johor mengemukakan permohonan Budi Agrikomoditi di bawah selian Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sejak bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 21,049 permohonan diluluskan Kementerian Kewangan yang turut membabitkan sektor getah, koko, lada dan kenaf bernilai RM50.5 juta.
“Budi Agrikomoditi diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk menyokong pekebun kecil yang berdaftar di bawah agensi KPK.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan golongan sasar khususnya pekebun kecil terus dibantu dalam menghadapi kenaikan harga terutama diesel.
“Malah, ia juga bertujuan meringankan beban kos operasi dan untuk memastikan produktiviti serta kesinambungan pendapatan pekebun kecil terus terpelihara,” kata
Menteri KPK, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Bagaimanapun, Noraini berkata, mereka perlu mematuhi syarat kelayakan, antaranya warga Malaysia, berdaftar dengan agensi di bawah KPK seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Selain itu, katanya, pekebun perlu mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi had ditetapkan mengikut sektor iaitu sehingga 4.5 hektar bagi pekebun kecil sawit dan getah persendirian serta sehingga 2.5 hektar bagi pekebun kecil koko, lada dan kenaf persendirian.
“Mereka juga perlumengusahakan pengeluaran secara aktif dan berterusan dengan nilai jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000,” katanya.