RM34 Juta Wang Scam Diselamatkan: Saifuddin

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata RM34 juta wang daripada aktiviti scam atau penipuan berjaya diselamatkan pada tahun lalu.

Menurutnya, ia adalah peningkatan ketara berbanding RM508,479.39 yang direkodkan pada 2024.

Beliau berkata kejayaan itu ialah hasil pengoperasian 24 jam Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), yang sebelum ini beroperasi pada waktu pejabat, selain pertambahan perjawatan di NSRC.

“Wang yang kita selamatkan ini menggunakan Subseksyen 424A, B dan C, Kanun Keseksaaan dan wang ini dia tak berpindah secara berlapis.

“Secara keseluruhannya, mengikut data yang kita kumpul daripada aduan mangsa, kita merekodkan sejumlah RM542 juta kerugian daripada aktiviti scam ini sepanjang tahun lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah individu yang telah didakwa dan disabitkan di bawah Kanun Keseksaaan Subseksyen 424A hingga 424D yang baharu bagi memerangi akaun keldai yang terlibat dalam penipuan dan bilangan mangsa yang berjaya mendapat semula duit mereka.

Saifuddin Nasution berkata bagi Subseksyen 424A, hingga kini sebanyak 51 kes dilaporkan dan antara status kes berkenaan, 20 kes telah dituduh di mahkamah, manakala tiga diklasifikasikan tiada tindakan lanjut.