RM100 Juta untuk Program Anak Kita: Amir Hamzah

Foto Bernama

GEORGETOWN: Dalam usaha menyemarak agenda reformasi pendidikan negara, RM100 juta diperuntukkan bagi Program Anak Kita (PAK), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurutnya, PAK merangkumi tiga aspek utama iaitu program 3M (membaca, menulis, mengira) untuk sekolah rendah, program Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan program murid cicir bagi sekolah rendah serta menengah, yang dilancarkan pada September tahun lalu.

“Program pendidikan di bawah inisiatif PAK mula dilaksanakan sejak tahun lepas dan telah memberi manfaat kepada lebih 83,000 murid di 2,500 sekolah seluruh negara. Ia membabitkan kerjasama rapat antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak swasta melalui pelbagai intervensi bagi menangani isu keciciran pembelajaran.

“Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program ini, yang bertujuan menangani isu keciciran pendidikan melalui pelbagai bentuk intervensi termasuk pemulihan pembelajaran dan pecutan akademik menjelang peperiksaan utama SPM,” katanya

Beliau berkata, PAK adalah inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI bersama Yayasan Hasanah. Program ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada kesejahteraan dan perkembangan holistik murid.

Amir Hamzah memaklumkan bagi 2024 dan 2025, PAK dilaksanakan dengan kerjasama tiga universiti awam dan tujuh CSO, di samping sokongan pihak sekolah serta pegawai pendidikan di lapangan dengan mula menunjukkan peningkatan.