
Pengorbanan pasukan boling negara yang mencatat kejayaan cemerlang di Kejohanan Boling Antarabangsa Piala Dunia di Hong Kong baru-baru ini terubat apabila Majlis Sukan Negara memberikan insentif RM90,000 sebagai mengiktiraf pencapaian mereka.
Kejohanan itu tidak disenarai dalam skim Hadiah Kemenangan Sukan oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia. Namun kerana prestasi mereka yang sangat cemerlang, insentif khas diberikan sebagai penghormatan kepada usaha keras pasukan berkenaan.
Natasha Roslan yang menjadi atlet pertama negara menjuarai kategori individu wanita di kejohanan itu menerima insentif RM20,000.
Pasukan lelaki iaitu Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam, Ahmad Fuaz Fishol dan Timmy Tan membawa pulang RM40,000 selepas menjuarai acara pasukan lelaki.
Rafiq diberi genjaran tambahan RM10,000 sebagai naib juara individu lelaki manakala Natasha, Sin Li Jane, Siti Safiyah Abdul Rahman dan Gillian Lim yang muncul naib juara berpasukan Wanita berkongsi RM20,000.