
SHAH ALAM: Kuala Langat dilanda ribut petang semalam menyebabkan berpuluh rumah, beberapa sekolah dan kemudahan awam rosak.
Dipercayai 11 murid cedera akibat ribut yang melanda beberapa kawasan sekitar Kuala Langat itu.
Kejadian bermula kira-kira jam 4.15 petang diikuti angin kencang dan puting beliung. Tiada kehilangan jiwa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata lima sekolah, sebuah dewan orang ramai dan sekurang-kurangnya 40 rumah rosak dalam kejadian berkenaan.
Antara premis terjejas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kg Medan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung.
Selain itu, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang, kawasan perumahan Batu 9 Kampung Medan serta kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
“Seramai 11 murid dari SRA Kampung Medan cedera ringan, namun hanya lima daripada mereka mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang, manakala enam lagi dibawa pulang oleh keluarga masing-masing,” katanya.