Reformasi Gaji Golongan M40

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Masalah gaji yang tidak berubah di kalangan golongan pertengahan (M40) dipandang berat oleh pihak berkuasa kerana kumpulan ini turut merasai tekanan kos sara hidup, walaupun ekonomi negara sedang berkembang.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memberitahu Berita Harian, walaupun ekonomi tumbuh, manfaatnya mungkin belum dirasai sepenuhnya oleh kumpulan ini.

“Penyelesaian tuntas kepada masalah ini adalah menerusi reformasi pasaran buruh. Fokus utama kerajaan adalah untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi yang mampu menawarkan gaji lebih baik.

“Apabila ekonomi beralih kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi, ia menuntut kemahiran baru. Pekerjaan jenis ini secara automatik akan menawarkan pakej pendapatan yang lebih lumayan berbanding pekerjaan berkemahiran rendah.

“Bila kita dapat mewujudkan banyak pekerjaan lebih berkualiti tinggi, keadaan ini akan menggalakkan seluruh ekonomi bergerak bersama,” katanya.