RCI SYOR TUNTUT SEMULA BAYARAN BONUS

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mengesyorkan supaya bonus berjumlah RM2.19 juta yang dibayar kepada beberapa pengarah dan pegawai terpilih TH Properties Sdn Bhd dituntut semula kerana diluluskan tanpa mematuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Dalam laporan setebal 252 muka surat yang dikeluarkan malam tadi, RCI berkata pembayaran bonus oleh TH Properties pada 2017 dan 2018 melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 kerana tidak memperoleh kelulusan serta resolusi pemegang saham yang diperlukan.

Suruhanjaya itu berkata ia bersetuju dengan pandangan undang-undang yang diberikan firma guaman MD Tajuddin & Co bahawa pembayaran bonus pada 2017 oleh lembaga pengarah TH Properties melanggar Seksyen 230(2) dan 230(4) Akta Syarikat 2016, manakala pembayaran pada 2018 melanggar Seksyen 230(3) akta yang sama.

“Suruhanjaya telah meneliti dokumen dan minit mesyuarat berkaitan isu pembayaran bonus kepada anggota Lembaga dan kakitangan tertentu TH Properties.

“Bayaran bonus yang telah diberikan kepada anggota Lembaga TH Properties dan kakitangan tertentu pada tahun 2017 dan 2018 adalah atas alasan bahawa projek pembangunan di Australia terutamanya “The Bay Pavillion” telah memberikan sumbangan kewangan yang signifikan kepada TH Properties pada tahun 2016 dan 2017,” katanya.

Laporan itu menambah bahawa projek berkenaan didakwa menjana pulangan sebanyak AUD11.6 juta kepada TH Properties.

“Suruhanjaya mendapati beberapa orang terpilih telah diberikan bonus istimewa dengan jumlah sebanyak RM1,148,400 pada tahun 2017 dan RM1,045,000 pada tahun 2018.

“Dengan ini, Suruhanjaya mencadangkan supaya usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada mereka yang terlibat, memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut laporan itu.