
KUALA LUMPUR — Kerajaan sentiasa membuka ruang rayuan bantuan kepada mereka yang mengalami perubahan status kewangan, termasuk golongan pertengahan (M40) yang kehilangan pekerjaan, bagi membolehkan permohonan dinilai semula berdasarkan keadaan semasa. Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata mekanisme itu membolehkan penerima yang tidak lagi memenuhi syarat berdasarkan rekod terdahulu mengemukakan permohonan sekiranya situasi kewangan mereka berubah.
“Walaupun dalam keadaan pengangguran, sebenarnya rayuan dibuka setiap hari dan setiap penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada telah berubah. Mereka boleh buat rayuan setiap hari,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai mekanisme memastikan kumpulan M40 yang kehilangan pekerjaan dan mengalami kemerosotan pendapatan dinilai semula kelayakan dan bantuan bersasar mereka.
Pada masa sama, Liew berkata kerajaan berhasrat memperbesar kumpulan kelas pertengahan sehingga jumlahnya melebihi golongan B40 sebagai sebahagian usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat. “Masalah sebenar negara kita ialah kelas pertengahan ini kurang daripada golongan yang lebih miskin. Kerajaan berhasrat satu hari nanti kita ada kelas pertengahan yang lebih besar daripada kelas B40. Itu hasrat yang kita harap boleh diwujudkan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut mendengar keresahan golongan M40 yang terhimpit beban sara hidup, dengan beberapa inisiatif diterjemahkan dalam Belanjawan 2027. Antaranya had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010 kini dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain pelepasan cukai perubatan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, manakala pelepasan yuran pengajian dan kemahiran diperluas merangkumi semua bidang pengajian serta tuisyen anak.