
PUTRAJAYA: Jasa bukan alasan untuk halang tindakan terhadap mereka yang terbabit rasuah dan salah guna kuasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata oleh itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu gentar dan terus cekal mengambil tindakan ke atas mana-mana tokoh biarpun individu itu mempunyai jasa besar atau berpengaruh jika terbabit rasuah dan salah guna kuasa.
Menurut beliau, tindakan undang-undang tidak boleh dikompromi hanya kerana individu terbabit pernah menyumbang kepada negara, sebaliknya proses penguatkuasaan perlu berjalan secara adil dan telus.
“Kalau tangkap orang rasuah di pejabat daerah RM1,000 hingga RM5,000, itu selamat. Tetapi kalau siasatan membabitkan ratusan juta atau bilion ringgit, risikonya besar kerana sokongan dan pengaruh mereka juga besar.
“Ramai yang beri alasan orang itu berjasa, tidak sihat atau banyak membantu negara tetapi jasa bukan alasan untuk menghalang tindakan.
Semua orang ada jasa, tukang cuci pun ada jasa, Firaun sekalipun pernah disebut memberi makan dan gaji kepada rakyatnya, itu pun jasa,” katanya di Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 dan Peluncuran ‘Keep Malaysia Clean’ di sini, semalam.