Rashid Hussain, Khairul Aming, Angeline Tan terima anugerah Maulidur Rasul

Foto Bernama

SERDANG – Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, 79, diumumkan Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul pada sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025 M hari ini.

Beliau dikenali sebagai hartawan menyumbang secara besar-besaran kepada infrastruktur Islam.

Antara sumbangan beliau ialah kepada Masjid A’ishah, Sungai Mengulu di Langkawi, Kedah yang dibina sekitar 1995.

Masjid Hussain, Seremban 2 dibina pada tahun 2014 serta Masjid Sri Sendayan, Seremban, yang dimulakan pembinaannya pada 2015 dan siap sepenuhnya pada 2019.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima anugerah.

Majlis berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Sementara itu, pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming pula menerima anugerah bagi kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya, manakala pelakon, Angeline Tan bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf).