
KUALA LUMPUR: Ramai rakyat Malaysia dipercayai kerugian mencecah jutaan ringgit apabila terpedaya dengan pelaburan dalam satu skim pemasaran buah durian Musang King di sebuah negara.
Difahamkan, pelaburan dipromosikan mampu menjana keuntungan luar biasa itu tidak memberi sebarang pulangan, walaupun didakwa mempunyai modul perniagaan yang meyakinkan.
Pelabur diyakinkan untuk melabur sehingga ratusan ribu ringgit dengan mengambil kesempatan durian Musang King mendapat pasaran meluas di banyak negara, khususnya China.
Pelabur turut disogokkan dengan dakwaan kononnya permintaan durian di beberapa negara terlalu tinggi sehingga kerajaan Malaysia juga dikatakan menyokong pemasaran raja buah itu.
Seorang pelabur dikenali sebagai Chin mendakwa dia dan rakan-rakannya berkongsi modal sehingga RM200,000 melabur dalam skim berkenaan, dengan janji pulangan mencecah hampir 50 peratus dalam hanya beberapa bulan.
Bagaimanapun, sehingga kini, katanya, mereka masih belum mendapat sebarang pulangan keuntungan bahkan tidak ‘balik modal’ daripada pelaburan itu.